Monday, May 24, 2010

Mendekatkan diri kepada ALlah..Satu Penyelesaian..

Dalam kesibukan waktu yang begitu padat dengan urusan duniawi yang tidak pernah selesai... hati ini terpanggil untuk menyelami kehidupan masa silamku bersama abah dan emak tercinta...Pada waktu itu ..tenaga mereka begitu kuat. Emak..yang tidak boleh melihat sepah sentiasa memaksa diri untuk berkemas...Bukan sahaja dirumah sendiri malah bila menziarahi anak-anak juga sikapnya begitu. Apabila ku kembali dari sekolah ..bukan sahaja didalam rumah malah disekeliling rumah...kesemuanya kemas dan bersih. Rumput dicabut..sampah dibakar..Rumput-rumput dan longkang semuanya bersih. Abah pula tidak ketinggalan dalam aktiviti pembersihan itu.
Sementara emak mertuaku juga begitu... perbezaannya ialah beliau lebih kepada kebun dari aktiviti didalam rumah. Apa-apa pun mereka semua bagi ku begitu gigih menjalani kehidupan ini .....
Tetapi kini...semua itu telah berlalu. Abah kini begitu uzur. Mata sudah mula kabur. Badannya begitu lemah dan ingatannya sejak akhir2 ini agak terjejas. Semuanya ini adalah kemungkinan berpunca dari serangan penyakit darah tinggi dan demam yang berlarutan. Emak pula sudah tidak sekuat dulu. Namun begitu hanya kekuatan hati sahaja yang mendorong beliau melakukan kerja-kerja rumah saban hari. Bersyukurku kehadrat Ilahi kerana adik perempuan, Zam dan Suaminya Md Shah serta anak-anaknya duduk berdekatan. Dapat juga mereka menjenguk emak dan abah. Adik beradik lain jauh-jauh. Namun aku berbangga dengan Abang Long, Hisham, syukur dan Ela yang sering balik menziarahi emak dan abah setiap hujung minggu.
Tetapi hari ini..ujian Allah pada setiap hambanya tak pernah lekang. ALlah menyayangi..... Emak mertuaku yang dulunya terkenal dengan kepantasannya dan kekuatan dalam mengendalikan kerja-kerja kini menghidapi sakit dibahagian tulang belakangnya. Pergerakannya amat terbatas... Esok 25.5.2010 beliau akan dibawa ke hospital pakar untuk meneruskan pengubatan matanya yang dikenalpasti mengalami bengkak diRetina. Belum pun pulih sepenuhnya..kini penyakit baru pula mengundang.
Begitulah hakikat kehidupan ini...setiap saat memerlukan pengobanan dan setiap saat juga merupakan perjuangan. Teringat aku akan Firman ALlah yang bermaksud; `Tidak ku biarkan mereka mengatakan mereka beriman sekiranya mereka tidak diuji'..Inilah satu hakikat proses keimanan yang kita kena lalui. Tidak ada manusia yang hendak penyakit datang...dan tiada insan yang menafikan kemerdekaan dan kebahagiaan..tetapi sunatullah hidup ini penuh dengan perjuangan. Semakin besar pengorbanan kita semakin mudah untuk kita memasuki syurga Allah..kerana ia adalah tiket untuk kita menempah syurga itu.
Namun sebagai insan dan anak yang mengharapkan keredhaan ALlah dan ibu bapa akan ku harungi segala mehnah kehidupan ini dengan penuh keikhlasan. Hari ini hari mereka..kerana tidak lama kemudian waktu ku akan sampai jua... Akan ku ambil dan rebut peluang ini untuk berbakti kepada mereka selagi hayat masih ada dan selagi ALlah masih memberikan kudrat untukku. Sesunguhnya segala-galanya datang daripada ALlah dan kepada Allahlah kita memohon pertolongan. Hanya dengan mendekatkan diri kepada ALlahlah sahaja segala permasaalahan akan selesai. Permasaalahan adalah lahir daripada Kondusi HATI . Jika HATI itu redha...maka permasaalahan tidak akan menjadi PERMASAALAHAN yang BESAR...malah hadapai segala-galanya dengan penuh KESABARAN, TAWADHUK dan REDHA.

Saturday, May 22, 2010

INGATKAN KEMATIAN...MENGHINDAR DIRI LALAI DIDUNIA

Bila Usia sudah hampir mencecah 50an, ini bermakna sudah setengah abad aku hidup didunia ini. Masakan aku boleh bertahan untuk 50 tahun akan datang? Lantas teringat aku akan kematian yang tidak tahu entah bila akan menjemputku. Dalam keadaan yang sebegini.. amalan masih kurang..., keikhlasan masih teruji.. aku begitu takut dengan perkataan MATI. Sedang aku mencari makna dan erti kematian lantas aku terbaca artikel yang ku kira boleh dikongsi sama dengan sahabat2 yang belum membacanya untuk kita terus merenung... hakikat kematian yang merupakan satu perpisahan...

Saban hari orang bersengketa – tentang itu dan ini, berebut kuasa, mengecam dan mendabik dada. Harta, kuasa, nama dan populariti jadi hijab yang menghilangkan bayang-bayang mati yang mengikut kemana sahaja manusia pergi.

Kita tidak tergamak, bermusuhan sesama saudara, sesama sahabat dan sesama Islam kalau kita kita ingatkan mati. Kita tidak akan berdendam, marah, memfitnah dan melakukan pelbagai penganiayaan jika sedar kita sendiri akan menghadap Allah yang mengetahui tentang kita segala dan semuanya. Baik, mulia, agung dan hebat sangatkah kita?
Wahai diriku dan saudara-saudaraku, mari kita kenangkan saat berpisah yang pasti menjengah. Kenangkanlah saat yang dibimbangkan oleh orang-orang yang soleh itu. Hayati apa yang ditangisi oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA itu. Mereka mengikut jejak kekasih mereka Rasulullah SAW yang sentiasa mengingati mati. Itulah sumbu bagi pelita kehidupan mereka. Tanpa ingat mati, apalah guna hidup ini…
Hari ini, urut dadamu, pejamkan matamu… istirehat seketika dan katakan: Wahai diri, aku akan mati! Kemudian bukalah mata, dan sematkan di hati bahawa segala ujian hidup ini adalah kecil dan sedikit berbanding apa yang akan dihadapi nanti. Insya-Allah, akan lapanglah hati… dan mulut mampu terseyum dengan segala cabaran yang mendatang. Masakan orang yang melihat singa berhampirannya masih merungut tentang seekor semut yang menggigit kakinya?
Begitulah diriku dan saudaraku, keyakinan kepada kehidupan akhirat akan memberi kekuatan dalam menghadapi kehidupan di dunia. Kenangkanlah saat berpisah kerana…
saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini?
Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”
Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”
Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.
Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Ingatlah, kata-kata ini:“In life, what sometimes appears to be the end is really a new begining.”
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!
Amin.

Thursday, May 20, 2010

Satu Perubahan dalam Perjalanan kehidupan

Ku cuba untuk menjadikan Blog ini sebagai wadah atau medan untuk melabuhkan idea2 yang dapat dikongsi bersama dan dimenafaatkan untuk insan sejagat.